ASSALAMUALAIKUM

Tuesday, March 9, 2010

HALAL VS TAK ADA HAL

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

SELAWAT DAN SALAM BUAT BAGINDA RASULULLAH

Dalam keghairahan kita memperkenalkan barangan makanan halal, maka besar harapan kita semua umat Islam untuk melihat setiap barangan yang diperkenalkan itu benar-benar halal. Barangan makanan halal merupakan satu jihad ekonomi Islam tanpa kita sedar akan membawa banyak keuntungan kepada orang Islam. Pak Lah telah membuat satu perkara yang sebenarnya telah menggugatkan dunia. Tetapi seperti yang pernah saya nyatakan, kalau kita tidak merantau ke Negara luar, maka kita akan kurang merasa bersyukur mempunyai seorang Perdana Menteri yang secara tidak sedar oleh kebanyakkan rakyat telah melakukan satu jihad yang amat besar dan bermakna dalam menyelamatkan iman orang Islam.

Saya buka ustazah tetapi sejak dari kecil lagi aruah ayah Sulaiman Palestin selalu mengingatkan saya bahawa inilah satu cara yang paling berkesan untuk Yahudi melemahkan orang Islam, iaitu melalui makanan. Kita ambil contoh yang paling umum bagi kita, iaitu tak kala seseorang anak yang kita hantar ke Mahat Tahfiz, pertama sekali sebelum menghafaz Al Quran mereka akan diberi beberapa pantangan perihal makan. Anak-anak yang hendak menghafal Al Quran dipastikan tidak memakan makanan yang sembarangan, seperti fastfood ataupun makanan dalaman. Kalau kita kaji dan mengaji mengapa makanan dititik beratkan? Jawapannya ringkas untuk memastikan ayat-ayat suci yang masuk ke minda akan masuk ke hati dan keberkahan serta rahmat adalah sesuatu yang tidak dapat kita lihat apa lagi kesucian hati. Bila makanan yang dimakan bersih dan halal, maka hati dan minda akan suci dan memudahkan ayat-ayat suci bersemadi di dalam minda dan jiwa.

Sebagai orang Islam kita harus memandang serius perihal makanan halal, dan ianya menjadikan sesuatu yang wajib bagi seseorang Islam terutama pemimpin mengambil inisiatif untuk memastikan rakyat dibawah kepimpinannya memakan sesuatu benda yang halal dan suci. Inilah pendekatan Pak Lah dan besar terlalu besar tindakan yang telah diambil beliau bagi mereka yang memahaminya secara spiritual. Akan tetapi mungkin ianya satu tindakan yang tidak dapat dibuktikan dengan keindahan mata seperti bangunan yang mencakar awan, tetapi sesungguhnya ia merupakan satu tindakan yang membolehkan umat Islam mencapai ketinggian iman. Persoalannya apakah kita rakyat Malaysia terutamanya orang Islam turut berjihad bersama pemimpin kita untuk memastikan ianya berjaya ataupun kita mengambil langkah tidak ada hal atau sambil lewa. Anak Cina makan pengat sendirilah mahu ingat.

Setelah menziarah Eropah, saya baru sedar bagaimana orang Islam di sana bertungkus lumus untuk memperjuangkan makanan halal ini. Pada peringkat permulaan mereka hanya berkumpul sesama mereka dalam kelompok yang kecil, berbincang dan bermuafakat untuk memastikan antara mereka mampu menyediakan makanan sesama mereka sahaja di kalangan orang Islam dari pelbagai Negara. Akhirnya tanpa disedari kelompok Islam yang berhijrah dari sebuah Negara ke sebuah Negara semakin berkembang dan akhirnya mereka menjadikan makanan halal sebagai satu perniagaan. Dengan banyaknya penghijarahan orang Islam ke Negara Eropah akhirnya jihad untuk memastikan makanan halal masuk ke perut orang Islam berkembang menjadi satu jihad ekonomi yang begitu luas jaringan perniagaannya, membuatkan saya terkejut dan terpegun dengan usaha dan keberhasilan mereka.

Oleh sebab itulah di sini ingin saya berpesan seandainya kta mendengar sebarang cerita tentang mengaibkan Agama mahupun Rausulullah sewajarnya kita hanya membantah dan menghantar memorandum atau apa sahaja jenis surat bantahan, kepada Negara tersebut, tetapi janganlah sesekali kita memboikot semua barangan yang dikeluarkan dari mana-mana Negara Eropah. Kita harus periksa dahulu, samada barangan yang ingin kita boikotkan itu hasil dari orang Islam ataupun orang bukan Islam. Teraniaya namanya pada sesetengah usahawan Islam yang membuat trading dari Eropah ke seluruh dunia termasuk Negara kita. Sesuatu tindakan yang kita buat haruslah dengan usul periksa, menangis dibuatnya apabila sesetengah usahawan Melayu dan Islam yang berada di Negara Barat apabila kita mengambil keputusan untuk memboikot semua jenis barangan dari sana. Banyak perkara yang seharusnya kita pertimbangkan. Kalau kita marah, maka kita harus bersaing dan bukan menyuruh orang kafir tutup kedai tetapi kita tidak buka kedai untuk menyelamatkan para pekerja dan pengusaha. Fikirkanlah, kalau nak marah pun, janganlah kemarahan kita kononnya hendak menyelamatkan airmuka Islam tetapi kita menganiayai kehidupan orang Islam lain.

Sebelum kita memboikot makanan segera seperti Mc Donald, Ketucky atau apa sahaja, pastikan tidak ada anak Melayu atau orang Islam menumpang mencari pendapatan di situ barulah boikot. Anak Cina makan pengat sendirilah mahu ingat. Jangan marahkan nyamuk kelambu dibakar. Jangan sampai kita tidak ambil hal dengan perkara lain, terutamanya ekonomi masyarakat seagama dan sebangsa kita.

Tentang jihad makanan halal ini, kita harus sedar bahawa kita juga mampu berjaya sepertimana orang-orang Islam yang hidup di Eropah menjadi jutawan dengan menjual barangan halal ini termasuk mengimpot dan mengekspotkannya. Akan tetapi keadaan ini hanya boleh direalisasikan sekiranya semua orang Islam di Malaysia diberikan penerangan seperti iklan setiap hari di dalam semua media cetak dan media elektronik tentang harus dan wajibnya seseorang Islam itu menjaga makanan yang masuk ke perut mereka. Apa yang berlaku di dalam generasi hari ini amat menyedihkan apabila sesetengah remaja yang semakin terdedah dengan makanan segera di Negara kita, mula membawa tabiat mereka ke luar Negara. Jangan terkejut kalau kita melihat orang Islam yang tidak berpengetahuan ini akan makan apa sahaja di atas penerbangan yang tidak menyediakan sebarang makanan halal sekiranya tidak dimohon untuk disediakan. Ada juga yang terlalu biasa makan Mc Donanld sehinggakan berada di luar Negara yang mempunyai francais makanan ini akan turut makan seperti biasa tanpa memastikan samada ianya halal atau tidak. Kita lihat sahaja Negara jiran kita Indonesia, kebanyakkan makanan segera serta restoren mereka menyediakan makanan tidak halal. Akhirnya orang Islam di sana menjadi tidak ada hal bila hendak makan. Apa yang memeranjatkan saya apabila rakan baik saya dari Negara seberang berziarah ke China, apabila ditanya makan apa di sana, dengan selamba mereka berkata susah cari makanan jadi makan saja apa yang ada. Nauzubillah.

Kita harus bersyukur ke hadrat Ilahi bahawa kebanyakkan orang Islam di Malaysia telah di didik untuk memastikan makan makanan halal, sekiranya ke luar Negara pun kita telah dilatih biarlah makan roti berbulan asalkan tidak makan makanan yang tidak disembelih. Namun seandainya semua umat Islam menyokong tindakan yang dibuat oleh Perdana Menteri kita Pak Lah maka sudah tentu suatu hari nanti jihad makanan halal akan menjadi satu titik permulaan bagi jihad ekonomi orang Islam. Hanya Islam sahaja yang boleh membantu orang Islam dalam perihal ini dan kenyataan serta penerangan kerajaan haruslah bertungkus lumus memastikan semua umat Islam tak kira bangsa benar-benar memahami kewajiban dan hukum Al Quran dalam perihal makanan halal. Kerajaan tidak harus mengandaikan atau mengambil langkah tidak ada hal dalam memastikan makanan halal ini berjaya. Kerajaan dan pemimpin harus sedar bahawa dalam peredaraan waktu serta pendedahan kepada pelbagai gejala sosial maka mereka terutama generasi muda harus didedahkan kepada kepentingan menjaga dan memakan makanan halal. Kalau dosa sebesar zina sudah berleluasa apatah lagi hanya makanan yang tidak disembelih atau bercampur dengan bahan haram tentulah sudah tidak menjadi hal, bagi mereka. Ingat dan jangan tak ingat.

Apabila difikirkan semula, kerajaan dan pemimpin begitu serius untuk memperkenalkan makanan halal, dalam masa yang sama kita lihat orang bukan Islam juga turut mendapat lesen halal di sana sini. Sungguh menghairankan, apakah cara menyediakan makanan halal ini turut difahami oleh orang bukan Islam??? JAKIM haruslah menjawab soalan ini, mungkin ilmu saya kurang dalam perihal ini. Pada pandangan bodoh saya kalau saya yang menjaga lesen halal tersebut, maka sudah tentulah saya hanya akan meluluskan kepada orang Islam semata. Sekiranya perkara ini benar-benar dilakukan maka akan berkembang hebatlah jihad ekonomi orang Islam di Malaysia.

Persoalan ini ditanya kerana ketika berada di Eropah saya langsung tidak melihat mana-mana mini market orang bukan Islam menjual barangan orang Islam. Mungkin saya terlepas pandang tak tahu lah. Tetapi apabila mereka orang Eropah beragama Islam ke Malaysia, mereka agak terkejut dan keliru, bagaimana orang bukan Islam menghasilkan makanan halal dan menjualkannya lagi kepada orang Islam. Kata mereka kalau benar-benar halal “its ok, tapi kalau syubhat bagaimana?? Wallahualam!!

Inilah tentang syubhat yang diriwayatkan di dalam hadith Muslim oleh Baginda Nabi Muhamad s.a.w :

Dari abi Abdillah Annu’man Bin Basyir r.a. berkata : “ aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. telah bersabda :

‘Sesungguhnya sesuatu yang halal itu jelas, dan yang haram itu jelas, dan diantara keduanya ada perkara yang samar-samar yang kebanyakkan manusia tidak tahu. Maka barang siapa yang menjaga dirinya daripada barang-barang (perkara) yang samar maka ia telah membersihkan agamanya dan kehormatannya. Dan barang siapa yang jatuh dalam perkara yang samar itu, maka ia telah jatuh dalam perkara yang haram seperti penggembala di sekeliling tanah larangan (halaman orang), lambat laun ia akan masuk ke dalamnya. Ingatlah bahawa tiap-tiap Raja ada larangannya. Ingatlah bahawa larangan Allah adalah apa-apa yang diharamNya. Ingatlah bahawa dalam jasad ada sekerat daging, jika ia baik, baiklah jasad keseluruhannya, dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruhnya. Ingatlah itu adalah hati”.

Begitulah pentingnya makanan yang halal kepada kita sehinggakan andaikata makanan syubhat itu kita jamah setiap hari akan terjatuh juga ke lembah haram. Cuba kita bayangkan seandainya kita makan makanan halal yang disediakan oleh orang bukan Islam kepada kita dan kaitlah dengan hadith Rasulullah, apakah mereka akan pasti dan terus memastikan kesucian makanan tersebut disediakan secara halal dan lama kelamaan mereka akan terus tidak ambil hal lagi. Nau’zubillah. Semua pesanan ini adalah untuk diri saya juga dan kepada pemimpin Islam yang mempunyai kuasa, maka gunakanlah sewajarnya dan bagi rakyat Malaysia yang berugama Islam sama-samalah menyokong dagangan makanan sesama Islam supaya jihad makanan akan berkembang menjadi jihad ekonomi yang memberangsangkan. Semoga perjuangan Pak Lah ini akan diberkahi Allah dan diberikan ganjaran pahala yang melimpah. Amin.

2 comments:

  1. Semasa saya menyertai kursus memproses mee kuning di MARDI Pasir Putih pada tahun 2003 teringat saya kepada seorang peserta kursus yang sama2 mengikuti kursus tersebut.Beliau adalah seorang pengurus salah sebuah bank di Kuala Lumpur.Katanya beliau mendapat gaji bulanan sebanyak RM15,000 sebulan ketika itu.Atas kesedarannya beliau meletakkan jawatan pengurus bank dan sekarang terlibat secara langsung dalam mengeluar dan memproses mee kuning.Katanya lagi dia mahu mee kuning yg diprosesnya 100% halal

    ReplyDelete
  2. Subhanallah...andainya semua umat Islam tahu akan kebesaran jihad makanan ini nescaya, sebotol air pun pasti mereka akan berlumba-lumba untuk memastikan bahawa mereka akan tercatat sebagai salah seorang penjihad makanan. InsyaAllah. Peperangan ini kian menjadi besar maka pengorbanannya juga besar, tambahan pula dengan dugaannya. Saya pasti saudara adalah salah seorang dari mereka.

    ReplyDelete